SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Umum Family Mart Sebagai Rakan Strategik Baharu Gergasi Merah

Aug 30, 2024 - FAS

Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini dengan besar hati mengumumkan rangkaian francais kedai serbaneka dari Jepun, Family Mart sebagai rakan strategik baharu bagi bersama-sama mengharungi saingan Liga Malaysia dan ACL2 2024-25.

Family Mart adalah rangkaian francais kedai serbaneka kedua terbesar di Jepun, di belakang Seven-Eleven Jepun. Kini terdapat 24,574 kedai di seluruh dunia di Jepun, Taiwan, China, Filipina, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia.

Kerjasama strategik ini bakal memperlihatkan penjenamaan Selangor FC dan Family Mart sebagai dua syarikat yang penuh dedikasi dalam melakar pengalaman pengguna yang baik di kalangan penyokong dan pengguna seperti  promosi eksklusif dan potongan khas buat penyokong Selangor FC di setiap outlet Family Mart. Selain itu, Family Mart juga menyediakan produk-produk makanan terkenal mereka di setiap perlawanan home Gergasi Merah bagi memeriahkan pengalaman penyokong di stadium.

Kerjasama ini juga dijalinkan bagi mengadakan aktiviti-aktiviti bersama para penyokong dengan harapan dapat memberi semula kepada komuniti. Antara aktiviti yang telah dirancang adalah klinik bola sepak, aktiviti kesihatan dan kecergasan serta program amal kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, Family Mart juga bersetuju untuk memberi sokongan penuh kepada setiap program pembanggunan Selangor FC dalam memupuk generasi akan datang dalam bola sepak Selangor FC.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon melihat kerjasama di antara Family Mart dan kelab ini selarasa dengan visi dan misi kedua-dua syarikat.

"Selangor FC amat berbesar hati menerima kehadiran Family Mart sebagai salah sebuah syarikat-syarikat gergasi bertaraf antarabangsa atas kesudian mereka untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Kerjasama ini bukan sahaja tentang servis dan promosi produk-produk keluaran Family Mart tetapi lebih daripada itu. Mereka mahu bekerjasama dalam progam-program charity bagi memastikan kita dapat memberi semula kepada komuniti tidak kira penyokong Gergasi Merah mahupun pelanggan Family Mart. Kami teruja dengan kerjasama yang mereka ingin berikan dan akan berikan komitmen penuh kepada rakan strategi baharu ini dengan baik dalam masa yang sama merealisasikan kehendak dan keperluan mereka." jelas Dr. Johan.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Family Mart di atas perjanjian kerjasama ini. 

Semoga dengan usaha ini Selangor FC dapat menarik lebih banyak syarikat lain untuk turut menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah.

Demi Kebanggaan!